Kuala Lumpur, 24 Feb. - Ketua Puteri Umno Ampang Haslinda Mohd Zerain meninggal dunia pada pukul 11.45 pagi tadi kerana sakit jantung. Laman web Puteri Umno Malaysia mengesahkan. - Bernama
KUALA LUMPUR 24 Feb. – Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Mac ini bagi menilai jumlah ganti rugi yang wajar diterima oleh putera Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra berhubung perintah ingkar yang diperolehnya terhadap isterinya, Manohara Odelia Pinot serta ibu wanita itu dalam kes fitnah melibatkan tuntutan RM105 juta.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noordura Mohamed Din menetapkan tarikh itu hari ini dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Mohd. Haaziq Pillay, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, berhubung taksiran ganti rugi itu.

Mohd. Haaziq memberitahu media antara hujahan beliau ialah mahkamah perlu mengambil kira bahawa kata-kata fitnah yang dikeluarkan olah Manohara dan ibunya, Daisy Fajarina tidak mempunyai bukti, tetapi mungkin mempunyai motif-motif tertentu berdasarkan suasana di Istana Kelantan.
SHAH ALAM 24 Feb. – Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam di sini hari ini mengesahkan Mohd. Ali Kamarudin atau Mamat Exist, 32, bercerai talak dua dengan bekas isteri, Marshila Mustapa, 30.

Hakim Ab. Malek Awang memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan keterangan kedua-dua pihak.

Lafaz cerai itu didakwa berlaku pada 20 Oktober 2009. – Utusan

sumber: Utusan Malaysia (24/02/2010)
MELBOURNE, 24 Feb. — Seorang lelaki warga Sydney berusia 55 tahun menghadapi pertuduhan memukul hingga mati pemandu di pejabat Konsul Malaysia, Mohd Shah Saemin, di Leichardt, pinggir bandar Sydney, Ahad lepas.

Polis berkata lelaki itu ditahan malam tadi oleh detektif dari Skuad Homisid dan polis Leichhardt di sebuah rumah di Brighton Street, Croydon.

Dia dituduh membunuh Mohd Shah, 43, dan tidak dibenarkan ikat jamin sebelum kes itu disebut di Mahkamah Tempatan Burwood lewat hari ini.

Siasatan kes pembunuhan itu masih diteruskan, menurut laporan Sydney Morning Herald.
VILLE PLATTE 23 Feb. - Seorang wanita berusia 52 tahun mengaku bersalah atas dua tuduhan menjual dua orang kanak-kanak kepada satu pasangan bagi menukarkannya dengan burung peliharaan dan AS$175 (RM593.60)

Donna Louise Greenwell menerima hukuman 15 bulan kerja berat bagi setiap pertuduhan semalam, yang mana dia akan melakukannya serentak.

Kerani Pejabat Mahkamah, memberitahu akhbar The Advocate yang Greenwell akan memulakan hukumannya pada 25 Mac.

Pasangan berkenaan, Paul James Romero dan Brandy Lynn Romero turut mengaku bersalah bagi tunduhan sama pada Oktober.

HULL, England - Seorang pekerja pembinaan, John Fores, 47, terkejut apabila dia mendapati gambar yang dirakamkan menerusi telefon bimbitnya memaparkan imej hantu seorang budak lelaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia mendakwa, imej itu dirakamkan di bangunan Sekolah Rendah Anlaby dekat sini di East Yorkshire yang diruntuhkan untuk tujuan pembinaan semula.

Namun, semasa Fores melihat kembali gambar yang telah dirakamkan itu, dia ternampak bayang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia lapan tahun dan memakai topi gelap sedang berdiri memandang ke arah kamera telefon bimbitnya.

"Saya mengambil beberapa gambar selepas waktu tengah hari dan pada waktu itu saya tidak menyedari apa-apa yang aneh.

TUCSON - Sebuah kawasan gurun seluas 1,052 hektar di Pangkalan Tentera Udara Davis-Monthan, Tucson di Amerika Syarikat (AS) dijadikan tempat menyimpan 4,200 pesawat lama termasuk jet pejuang bernilai AS$35 bilion (AS$118.73 bilion), lapor sebuah akhbar semalam.

Ia dijadikan alat ganti untuk pesawat yang kini digunakan Tentera Udara AS.

Enjin, peluru, pendawaian elektrik dan elektronik pesawat lama itu dikitar semula untuk membantu mengurangkan kos penyelenggaraan pesawat-pesawat tentera masa kini.

Pada 2005, kakitangan di pusat itu mengitar semula lebih 19,000 komponen pesawat-pesawat tersebut yang bernilai AS$568 juta (RM1.92 bilion).
KUALA LUMPUR 23 Feb. – Tentera Darat akan memperkukuhkan lagi ketombokan pasukan itu dengan mewujudkan Unit Helikopter Tempur sebagai memperlengkapkan sayap pertahanannya.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata, permohonan telah dibuat di peringkat tertinggi Kementerian Pertahanan, tetapi keputusan pembelian helikopter tempur itu bergantung kepada peruntukan kerajaan.

"Tentera Darat telah membuat permohonan untuk mendapatkan aset itu dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), namun tertakluk kepada kemampuan kerajaan untuk memperolehi aset berkenaan,” katanya ketika sesi wawancara khas bersama media sempena ulang tahun ke-77 Tentera Darat di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun menyatakan jenis dan jumlah pesawat tempur itu belum diputuskan kerana masih di peringkat perbincangan.
KUALA LUMPUR, 23 Feb — Kekayaan intelek negara harus terus ditambah melalui usaha yang memberikan dorongan dan keyakinan kepada ilmuan dan bukannya mewujudkan persekitaran politik yang memusuhi kumpulan itu, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pimpinan yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar.

"Pemikiran politik sedemikian amatlah destruktif. Pimpinan yang stabil dan negara yang maju sentiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuan,” titah baginda pada pelancaran buku “Knowledge, Language, Thought and the Civilisation of Islam: Essays in Honor of Syed Muhammad Naquib Al-Attas" di sini hari ini.
KOTA TINGGI, 23 Feb — Akibat tidak mengendahkan peraturan jalan raya, seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas terjatuh daripada sebuah motosikal yang ditunggang bersama tiga rakan lain dalam satu kejadian di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Osman Mohamed Sebot berkata Muhammad Amirul Asyraf Mohamed Fadzli, 15, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi dua jam selepas terjatuh daripada motosikal itu akibat kecederaan dalaman.

Tiga rakannya yang juga berusia 15 tahun iaitu Mohd Hazrul Shafiq Mohd Hanapiah, Muhammad Norfaiz Azli dan Amirul Nazmi Azman hanya mengalami cedera ringan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku pukul 3 petang ketika keempat-empat pelajar itu menunggang motosikal tersebut di sekitar Taman Kota Jaya di sini.

Bagaimanapun motosikal yang ditunggang mereka hilang kawalan selepas terlanggar bonggol jalan menyebabkan keempat-empat mereka terjatuh, katanya.
KUANTAN 23 Feb. – Seorang pesara Majlis Daerah Cameron Highlands mati lemas akibat mulut dan hidungnya ditampal pita pelekat oleh perompak ketika sedang tidur di banglonya di Ulu Ringlet dekat Cameron Highlands, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian antara 2 hingga 3 pagi itu, mangsa, Ho Kwok Hing, 75, bersama isterinya, Looi Kam Foong, 76, sedang tidur di dalam bilik ketika beberapa perompak memasuki rumah itu melalui tingkap tandas di tingkat atas rumah itu yang terbuka.

"Mereka kemudian mengikat tangan dan kaki kedua-dua mangsa menggunakan tali sebelum menampal pita pelekat di mulut mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian menggeledah bilik tersebut dan mengambil beberapa barang kemas milik isteri mangsa serta beberapa botol minuman keras berjenama sebelum melarikan diri.

Katanya, mangsa lelaki yang dipercayai mengalami sesak nafas meninggal dunia di atas katil.

Wan Mohd. Zahari berkata, si isteri yang berjaya membuka ikatan kemudian mendapatkan pertolongan jirannya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands kira-kira 7.30 pagi. – Bernama
JITRA 23 Feb. – Dua beradik ditemui maut di tingkat atas rumah kedai milik keluarga mereka dalam satu kebakaran yang turut memusnahkan lima rumah kedai yang lain di Jalan Kodiang-Jitra tengah malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, Teng Wee Yan, 10, dan adiknya, Teng Dee Sheng, 7, maut dipercayai akibat lemas terhidu asap.

Mayat kedua-dua kanak-kanak itu ditemui pukul 9.30 pagi ini di bawah timbunan siling dan dinding yang runtuh berhampiran tingkap rumah kedai tersebut oleh pihak bomba dan penyelamat. – Utusan