KUALA LUMPUR, 23 Feb — Kekayaan intelek negara harus terus ditambah melalui usaha yang memberikan dorongan dan keyakinan kepada ilmuan dan bukannya mewujudkan persekitaran politik yang memusuhi kumpulan itu, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pimpinan yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar.

"Pemikiran politik sedemikian amatlah destruktif. Pimpinan yang stabil dan negara yang maju sentiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuan,” titah baginda pada pelancaran buku “Knowledge, Language, Thought and the Civilisation of Islam: Essays in Honor of Syed Muhammad Naquib Al-Attas" di sini hari ini.

Raja Dr Nazrin Shah bertitah usaha memuliakan ilmuan adalah usaha yang amat konstruktif memandangkan seseorang ilmuan itu memiliki kehebatan yang lebih istimewa dan lebih tulen.

Titah baginda pengiktirafan yang diabadikan kepada ilmuan adalah lebih berkekalan, lebih berpanjangan dan lebih berterusan sehingga melangkah ke pasca hayatnya dan ia tidak sekadar semasa ilmuan itu masih bernyawa atau sedang menyandang jawatan tertentu. — Bernama

0 comments:

Post a Comment