MELBOURNE, 24 Feb. — Seorang lelaki warga Sydney berusia 55 tahun menghadapi pertuduhan memukul hingga mati pemandu di pejabat Konsul Malaysia, Mohd Shah Saemin, di Leichardt, pinggir bandar Sydney, Ahad lepas.

Polis berkata lelaki itu ditahan malam tadi oleh detektif dari Skuad Homisid dan polis Leichhardt di sebuah rumah di Brighton Street, Croydon.

Dia dituduh membunuh Mohd Shah, 43, dan tidak dibenarkan ikat jamin sebelum kes itu disebut di Mahkamah Tempatan Burwood lewat hari ini.

Siasatan kes pembunuhan itu masih diteruskan, menurut laporan Sydney Morning Herald.

Mohd Shah dikatakan diserang dengan tukul besi dan ditikam oleh dua lelaki di luar unit kediamannya di Marion Street, Leichhardt, kira-kira tengah malam Ahad. - Bernama

0 comments:

Post a Comment