KUANTAN 23 Feb. – Seorang pesara Majlis Daerah Cameron Highlands mati lemas akibat mulut dan hidungnya ditampal pita pelekat oleh perompak ketika sedang tidur di banglonya di Ulu Ringlet dekat Cameron Highlands, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian antara 2 hingga 3 pagi itu, mangsa, Ho Kwok Hing, 75, bersama isterinya, Looi Kam Foong, 76, sedang tidur di dalam bilik ketika beberapa perompak memasuki rumah itu melalui tingkap tandas di tingkat atas rumah itu yang terbuka.

"Mereka kemudian mengikat tangan dan kaki kedua-dua mangsa menggunakan tali sebelum menampal pita pelekat di mulut mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian menggeledah bilik tersebut dan mengambil beberapa barang kemas milik isteri mangsa serta beberapa botol minuman keras berjenama sebelum melarikan diri.

Katanya, mangsa lelaki yang dipercayai mengalami sesak nafas meninggal dunia di atas katil.

Wan Mohd. Zahari berkata, si isteri yang berjaya membuka ikatan kemudian mendapatkan pertolongan jirannya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands kira-kira 7.30 pagi. – Bernama

0 comments:

Post a Comment